Cerita Kempen
Latar belakang & objektif
Dewan Ilmu Memerlukan Kita
Dewan Ilmu MRSM Kuantan merupakan antara lokasi utama yang menjadi saksi pelbagai aktiviti penting sepanjang kehidupan warga maktab. Di sinilah berlangsungnya majlis rasmi, program pelajar, seminar, aktiviti kokurikulum serta pelbagai kenangan yang mengikat hubungan antara generasi alumni dan warga sekolah.
Namun, satu insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan sebahagian struktur bumbung Dewan Ilmu mengalami kerosakan yang serius. Keadaan ini menjejaskan penggunaan dewan dan memerlukan kerja-kerja pembaikan yang segera bagi memastikan keselamatan semua pengguna.
Matlamat Kutipan
Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk:
Membaiki dan menggantikan struktur bumbung yang rosak.
Kerja-kerja pemeriksaan dan pengukuhan keselamatan bangunan.
Pembaikan sistem pendawaian dan kemudahan yang terjejas.
Kerja kemasan dan pemulihan ruang dewan.
Kos pengurusan serta keperluan teknikal berkaitan proses pembaikan.
Seruan Kepada Alumni
Sebagai alumni MRSM Kuantan, Dewan Ilmu bukan sekadar sebuah bangunan. Ia adalah tempat yang menyimpan seribu satu kenangan, pengalaman dan perjalanan kita sebagai warga maktab.
Melalui kempen ini, kami mengajak seluruh warga KUATAGH daripada Batch K98 sehingga batch terkini untuk bersama-sama menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
Tidak kira besar atau kecil jumlah sumbangan, setiap ringgit yang disumbangkan akan membantu mempercepatkan usaha memulihkan Dewan Ilmu agar dapat kembali berfungsi untuk manfaat generasi pelajar masa kini dan akan datang.
"Dewan Ilmu milik kita bersama. Ayuh berganding bahu mengembalikan sinarnya."

